Halaman

"BAPA YANG KEKAL KUPERSEMBAHKAN KEPADA-MU, TUBUH DAN DARAH, JIWA DAN KE-AILAHAN PUTERA-MU YANG TERKASIH TUHAN KAMI YESUS KRISTUS, DEMI PENEBUSAN DOSA-DOSA KAMI DAN DOSA SELURUH DUNIA" - YESUS RAJA KERAHIMAN ILAHI, AKU PERCAYA KEPADA-MU

Isnin, Julai 27, 2015

Seminar Pembentukan Pemimpin-Pemimpin Komuniti Kristian Dasar ~ Hari Kedua, 17hb Julai 2015

Artikel oleh DS dan Dalius LL

Gambar oleh GBell dan Helda

Sandakan : Hari kedua, 17hb Julai 2015 bermula dengan doa pagi dipimpin oleh Sr Maria Dipal rgs dan diikuti dengan 7-langkah perkongsian alkitab.



Sesi pertama fokus pada perbincangan ucaptama Bapa Uskup Julius yang dipermudacarakan oleh Sdra Dalius Lobinjang. Peserta dalam kumpulan mengikuti paroki masing-masing merenung tentang situasi dan status KKD mereka berlandaskan kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh Bapa Uskup Julius samada ia aktif atau sebaliknya. Jika aktif, apakah kriteria yang menyumbang kepada kemajuannya. Jika tidak, apakah halangannya.

Dalam langkah pertama, peserta diajak melihat isu-isu yang dihadapi KKD. Mereka tertumpu kepada halangan-halangan yang melemahkan KKD. Mereka juga berdiskusi tentang sebab-sebab situasi sedemikian boleh berlaku di KKD mereka. Jika dibiarkan berterusan akan mempengaruhi umat menjauhi diri dari KKD.
Sdr. Dalius Lobinjang
Mereka menumpukan perhatian kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Bapa Uskup Julius dalam ucaptamanya. Di antara isu-isu yang dihadapi dalam pertumbuhan KKD adalah tahap semangat sokongan dan inisiatif sesetengah paderi. Cara baru menggereja memerlukan cara baru melayani daripada paderi. Cabaran pastoral lain adalah pembentukan kepimpinan. Pemimpin berbakat adalah perlu namun pemimpin berpotensi boleh dilatih untuk membentuk dan mempromosikan KKD. Satu lagi cabaran yang dilihat ialah komitmen sosial KKD.

Selain itu mereka menumpukan kepada isu pembangunan iman, sokongan daripada pemimpin-pemimpin gereja, sambutan daripada umat awam terhadap hidup berkomuniti melalui KKD, soal kepimpinan, pelayanan dan penjangkauan kepada yang miskin.
Rev. Fr. Jasery Gabuk
Sesi kedua ialah perkongsian yang disampaikan oleh Fr Jasery, rektor Gereja St Martin, Telupid, 'Impak KKD Dalam Misi Kristus.' Beliau menjelaskan bahawa Yesus memberi ajaran kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka bersedia didalam pelayanan mereka. Begitu juga apabila pihak Keuskupan menghantar para pemimpin-pemimpin ke luar belajar supaya mereka boleh membawa impak kepada perkembangan KKD.

Misi Kristus didalam KKD  adalah supaya kita menjadi garam dan terang dunia. Kristus telah memberikan kita misi dengan mengatakan, 'Pergilah wartakan Injil kepada dunia,' 'Saya datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani' dan 'Aku datang bukan untuk orang yang sihat tetapi yang sakit.' Melalui pelayanan di KKD kita membawa impak yang sangat besar kepada misi Kristus.


Mana-mana KKD yang ditubuhkan memang ada kepincangan, kekurangan dan kelemahan tetapi KKD juga menyumbangkan banyak kebaikan. Sepatutnya kita mencari jalan untuk mengatasi masalah itu secara positif. KKD dapat menyumbangkan banyak kepada pelayanan dalam pembangunan iman dan pembangunan fizikal gereja.
Pelapor dari hasil perbincangan dari bengkel
Soal jawab tentang masalah KKD
Wakil setiap 'Kumpulan Teras KKD Paroki' membentangkan laporan mereka berkaitan dengan latar belakang, data, perkembangan, kekuatan, kelemahan serta peluang untuk maju ke depan. Peserta dapat membuat bandingan serta menganalisa apa yang mereka lihat, dengar dan mengalami realiti pada KKD masing-masing. Mereka diberi laluan untuk menilai dan membuat analisa kepada situasi KKD; kenapa ia berlaku dan kenapa ia berterusan berlandaskan kepada renungan teologi serta perspektif sosial.

MISA KUDUS DI PUNCAK MARIA SANDAKAN

Misa di atas Bukit Maria dirayakan oleh Fr Marcellinus Pongking, pembantu rektor, Gereja St Dominic, Lahad Datu bersama dengan semua paderi dan Uskup Julius. Perjalanan ke puncak Bukit Maria agak mencabar namun semua peserta sampai ke puncak Bukit Maria dengan jayanya.

Dalam homilinya, Fr Marcellinus mengingatkan bahawa peraturan adalah perlu untuk keharmonian hidup. Ia sepatutnya mengangkat dan memuliakan manusia sesama. Peraturan harus mengabdi pada kebaikan dan bukan sebaliknya. Peraturan hendaklah berlandaskan kepada kasih. Dialah satu-satunya pengharapan bagi semua bangsa.

Bapa Uskup dan pemimpin KKD berdoa makan
Sesi perkongsian pemimpin KKD dari paroki 
Album kenangan Bapa Uskup Julius dan Rektor paroki Katedral Fr. Thomas Makajil dan Sr. Maria Dipal r.g.s
melawat Komuniti Kristian Santa Maria Sandakan
Pada sebelah malam para peserta berpeluang untuk melawat ke 10 KKD di persekitaran Sandakan. Pendedahan ini membuka ruang bagi para peserta berinteraksi dengan umat di KKD dan mengenali pendekatan pastoral yang digunapakai di KKD berkaitan.   



---------------------------------------------------------------------

PUNCAK MARIA SANDAKAN


ROSARI KORIDOR 

Seminar Pembentukan Pemimpin-Pemimpin Komuniti Kristian Dasar (KKD) ~ Hari Pertama, 16hb Julai 2015

Artikel oleh DS dan Dalius LL

gambar oleh GBell dan Helda 
Sandakan : Seramai 120 peserta dari Sandakan, Telupid, Lahad Datu dan Tawau berkumpul di Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan untuk menyertai Seminar Pembentukan Pemimpin-Pemimpin KKD Keuskupan Sandakan bertemakan 'Komuniti - Garam dan Terang Dunia' pada 16hb - 18hb Julai. Turut serta ialah Bapa Uskup Julius, Fr Thomas, Fr Philip, Deacon Stanley dari Sandakan, Fr Marcellinus dari Lahad Datu, Fr Jasery dari Telupid dan sembilan orang religius FSIC dan RGS.


Seminar ini merupakan satu landasan untuk peserta sama-sama menerokai cara-cara memulihkan semula dan memperkukuhkan KKD. Masih banyak yang perlu dilakukan demi mencapai matlamat teras pastoral keuskupan, ke arah tuju konsep hidup berkomuniti melalui KKD yang konsisten dan sistematik.
Antara objektif seminar tersebut adalah;
  • Menilai - sejauh mana telah kita lakukan, di mana kita berada sekarang dan ke mana harus kita menuju.
  • Mengkaji impak KKD terhadap misi gereja dan
  • Mencadangkan langkah-langkah misi penginjilan

Ahli Jawatankuasa Penganjur
Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Penganjur, Sr Appollonia fsic mengharap seminar ini dapat membantu para hadirin untuk mengimbas, merenungkan kembali sejauh mana pencapaian kita menggereja melalui KKD. Beliau berharap seminar ini dapat membangkitkan dan meningkatkan semangat untuk berusaha menubuhkan dan mengembangkan KKD di kawasan kita masing-masing. Beliau juga percaya, bahawa para peserta akan belajar sesuatu yang baru melalui perkongsian penceramah-penceramah dan perkongsian dari setiap paroki. 
Sdra Francis Tan menyampaikan slot, 'Kronologi Peristiwa' tentang KKD di Keuskupan Sandakan. Sesi ini membolehkan peserta mengimbas kembali pelaksanaan, perjalanan dan perkembangan KKD di Keuskupan Sandakan sejak wujudnya Keuskupan Sandakan pada 2007 hingga kini.
Misa pembukaan dirayakan oleh Fr Thomas Makajil, rektor Katedral St Mary Sandakan bersama dengan Bapa Uskup Julius dan semua paderi yang hadir. Dalam homilinya, Fr Thomas mengingatkan para peserta bahawa aspek penting di dalam seminar ini adalah untuk kita belajar melayani cara baru menggereja melalui KKD. KKD mempunyai misi untuk meneruskan misi Kristus, identiti utama komuniti ini kerana kita dicipta untuk berkomuniti melalui Bapa, Putera dan Roh Kudus.


Melalui pendekatan KKD, kita berharap dapat memberi impak di dalam pelayanan gereja. Kita melayani sebagai garam dan terang dunia di dalam komuniti kita, dan ini merupakan sumber kekuatan pelayanan kita kepada gereja.
Dalam ucaptama Bapa Uskup Julius, beliau mengajak para peserta untuk merenung tentang situasi dan status KKD mereka masing-masing samada ia aktif atau sebaliknya. Jika aktif, apakah kriteria yang menyumbang kepada kemajuannya. Jika tidak, apakah halangannya.
Pertumbuhan dan perkembangan KKD di Keuskupan adalah tanda-tanda harapan. Seperti cahaya, garam dan ragi, KKD walaupun dalam kelompok kecil mampu menonjolkan perbezaan sama seperti dengan 'kawanan kecil' (Lukas 12: 32). Mereka adalah "minoriti yang kreatif" hidup berkomuniti sebagai pengikut Kristus.
Menurut beliau, perbincangan peserta tidak mungkin memperolehi satu jawapan ajaib, cadangan mungkin tidak semua boleh dilaksanakan dan sasaran dicadangkan mungkin tidak boleh dicapai sepenuhnya. Apa yang jelas dan penting adalah, bersama-sama para peserta melalui proses yang akan membawa mereka satu langkah lebih dekat kepada matlamat konsep KKD.
Fr Philip Muji, pembantu rektor Katedral St Mary Sandakan menyampaikan sesi, 'Panggilan Untuk Hidup Berkomuniti' (Evangelii Gaudium #92) Beliau menerangkan konsep KKD juga suka dan duka yang dilalui komuniti tersebut. Sebagai satu komuniti yang utuh harus mengamalkan perhubungan sesama yang baik dan sentiasa mahu berkongsi Berita Gembira, dalam perkataan juga perbuatan. KKD mesti mempunyai peribadi semulajadi, (nature) yang komited untuk datang bersama, komited mendengar sabda Tuhan, komited duduk dekat kaki Yesus. Paroki telah menjadi satu rangkaian KKD, satu persekutuan komuniti. 

KKD harus meneruskan misi Kristus dengan komuniti yang mahu berjalan bersama kerana Gereja adalah untuk semua. Pelayanan kita untuk membawa misi Kristus hendaklah seperti kata Bapa Suci Fransiskus, 'Saya lebih suka sebuah Gereja yang terluka, cedera dan kotor kerana ia berada di jalanan dan bukan sebuah Gereja yang tidak sihat terkurung dan berpaut kepada jaminan hidup sendiri.' Pelayanan Blessed Mother Teresa yang merawat yang terluka adalah satu contoh yang baik.  Dia dihina, dia diludahi namun dia teruskan pelayanannya. Apabila ditanya siapakah Tuhan-mu, dia menjawab Tuhan saya adalah Tuhan Pengasih. Sifat pelayanan adalah pengabdian atau pengembalaan seperti dalam Yoh 10:11-15, 'Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik memberikan nyawanya bagi domba-dombanya.'

Sumber :