Kota Magdala yang
ditemui di tebing barat Laut Galilea
Ahli-ahli kaji
purba telah menemukan apa yang kemungkinan adalah rumah ibadah di bahagian
tengah Magdala, kota kediaman Maria Magdalena, saksi penyaliban dan kebangkitan
Yesus Kristus.
CNN melaporkan
bahawa Father Juan Solano telah membeli tanah di utara Israel untuk membina
sebuah pusat retret Kristian enam tahun yang lalu. Mengikut undang-undang, dia
dikehendaki melakukan penggalian ujian, dan dengan cepat menemukan sebuah rumah
ibadah abad pertama di bawah tanah itu.
"Ini adalah
tapak suci, saya pasti tentang itu," Solano memberitahu para wartawan.
Mengikut nas
Alkitab, Yesus dikatakan telah berkhutbah di rumah-rumah ibadah di wilayah
Galilea. Rumah ibadah yang telah digali baru-baru ini adalah satu-satunya yang
wujud di tempat itu semasa hayat Yesus, jadi sangat mungkin Yesus juga telah
berkhutbah di situ.
"Maria tinggal
di sini dan bertemu Yesus di sini dan dia terus mengikuti-Nya. Ya, itulah
tempatnya," ahli kaji purba senior Israel, Arfan Najar, yang menyelia
penggalian di Magdala memberitahu CNN News.
"Ini adalah
rumah ibadah terdekat dengan Kapernaum di mana Yesus tinggal. Jadi kemungkinan
Dia pernah ke sini berkali-kali," tambah Solano.
Setakat ini
ahli-ahli kaji purba telah menemukan lantai mozek, fresco (lukisan dinding),
barang tembikar, dan syiling. Bagaimanapun penemuan yang terbesar adalah Batu
Magdala, iaitu suatu mezbah atau bimah.
Batu Magdala dari
rumah ibadah di tengah kota Magdala
Sambil menceritakan
mengenai mezbah yang berukiran itu, "Ini adalah kali pertama menorah (kaki
dian berlilin tujuh) yang diukir pada batu ditemui di luar Yerusalem."
Tambahan lagi,
ahli-ahli kaji purba telah menemukan tempat mandi penyucian di kota itu dan
sebuah periuk yang kemungkinan digunakan oleh untuk mencuci tangan sebelum
warga kota memasuki rumah ibadah. Periuk itu melebihi 2,000 tahun, dan Yesus
sendiri mungkin pernah mencuci tangan di situ.
Tempat mandi
penyucian yang masih boleh digunakan telah ditemui di kota Magdala,
di bahagian bawah
anak-anak tangga yang dapat dilihat di bahagian tengah gambar.
(Diterjemah daripada artikel Newmax bertajuk, "Possible Home Of Mary Magdalene Unearthed In Israel" penulisan Nick Sanchez bertarikh 18 Ogos 2015)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan